Tuesday, 24 April 2012

LATIHAN INTENSIF BAHAGIAN C (ULASAN)


LATIHAN INTENSIF BAHAGIAN C (ULASAN)
LATIHAN 1
Amir termenung sendirian di kantin. Semenjak ayahnya jatuh sakit, dia dan ibunya patah kandar. Mereka hilang tempat bergantung. Selama ini, ayahnya bekerja keras mencari rezeki di kebun getah mereka.
            “Amir, cikgu lihat kamu seperti ada masalah. Boleh cikgu membantu kamu?” tanya Cikgu Rajeswari.
            “Sebenarnya, saya runsing memikirkan yuran yang belum dijelaskan, cikgu. Ayah saya sakit sekarang ini. Tetapi, saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Saya tidak mahu menagih simpati daripada orang lain,” kata Amir.
            “Amir, usahlah kamu runsing lagi. Tentang yuran, biarlah pihak sekolah selesaikan. Cikgu akan mengadakan kutipan derma untuk membantu keluarga kamu. Kamu perlu menjaga ayah kamu itu. Tetapi, jangan kamu mengabaikan pelajaran pula,” kata Cikgu Rajeswari.
            “Terima kasih, cikgu. Saya berasa bersyukur kerana ada orang yang mengambil berat tentang keluarga saya. Budi cikgu tidak dapat saya balas,” kata Amir.

LATIHAN 2
Sudah acap kali Pak Murad menasihati jirannya  Kassim seorang pengusaha bengkel motosikal  tentang sampah sarap di belakang rumahnya itu. Botol-botol plastik, tin kosong, malah tayar buruk juga dilonggokkan di situ. Malangnya, Kassim keras kepala orangnya. Nasihat Pak Murad  jirannya langsung tidak diendahkannya.
            Suatu hari, anaknya Faridah  jatuh sakit. Suhu badannya panas meningkat mendadak. Demamnya berulang-ulang, sekejap surut sekejap naik semula suhu badannya.  Seluruh badan Faridah  juga mula ditumbuhi bintik-bintik merah.
            Ubat klinik tidak berkesan ditubuhnya.  Akhirnya, Kassim  membawa Faridah  ke hospital. Doktor yang merawat Faridah mengesahkan Faridah  menghidap demam denggi.  Keadaannya itu menyebabkan Faridah  terpaksa ditahan dan diasingkan di wad.
            Kassim sangat sesal dengan sikap keras kepalanya selama ini. Kedegilannya menyebabkan anaknya terlantar di hospital. Dia sedar akan kesilapannya. Dia berazam untuk membersihkan kawasan belakang rumahnya secepat mungkin.


LATIHAN 3
Tanam kangkung tanam halia,
            Dijual di pasar hari Selasa;
Berjimat cermat amalan mulia,
            Menjadi amalan setiap masa.

Ambil cangkul ambil tajak,
            Lubang digali ditanam ros;
Membeli sesuatu mestilah bijak,
            Jangan membazir janganlah boros.

Guruh berdentum kilat menyabung,
            Hujan turun kampung akan bah;
Duit lebihan dimasukkan ke tabung,
            Beransur-ansur sebelum bertambah.

Lumpur lecak kaki terbenam,
            Sungguh mendung ketika hujan;
Jikalau perlu bercucuk tanam,
            Tidak perlu membeli sayuran.

Daun sirih dihancur lumat,
            Pinang seulas dikacip juga;
Pelbagai cara untuk berjimat,
            Bertangguh itu pencuri masa.
LATIHAN 4   
Erma menatap kertas ujian Bahasa Melayu. Dia mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan. Dia hanya memperoleh 45 markah sahaja. Erma berazam untuk mempertingkatkan prestasinya.
            Pada waktu rehat, dia berjumpa dengan gurunya. Gurunya menasihati Erma agar mengubah strategi belajar. Erma dinasihati agar menumpukan perhatian di dalam kelas dan membaca pelbagai bahan bacaan tambahan. Selain itu, Erma dinasihati agar rajin merujuk kepada kamus.
            Erma sedar akan kesilapannya selama ini. Dia akan belajar bersama-sama dengan rakannya yang lebih bijak seperti Sarah. Sarah telah berjanji untuk membantu Erma. Erma mempunyai keyakinan untuk mencapai tahap yang membanggakan jika dia tidak mudah berputus asa.

LATIHAN 5
Ainil     : Keputusan ujian bulanan saya semakin merosot. Saya bimbang kerana peperiksaan telah semakin hampir.
Puteri   : Saya rasa setiap masalah mesti ada penyelesaiannya.
Ainil     : Saya memerlukan bantuan kamu, Puteri.
Puteri   : Saya bersedia untuk membantu kamu, Ainil.
Ainil     : Bolehkah saya belajar bersama-sama dengan kamu?
Puteri   : Boleh, apa salahnya. Lagipun, belajar secara berkumpulan lebih baik. Kita dapat bertukar-tukar nota, latihan, dan idea.
Ainil     : Terima kasih, Puteri. Saya akan ke rumah kamu petang nanti.
Puteri   : Baiklah, saya akan menunggu kamu pada pukul empat petang ini.
Ainil     : Saya akan datang tepat pada masanya.

LATIHAN 6
Cikgu Kariman sudah lama bersara dalam pendidikan tetapi orang kampung tetap memanggilnya cikgu. Setiap hari beliau akan memenuhi masa senggang dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Beliau sangat aktif dalam kegiatan sukarela di tempatnya. Beliau mengambil berat akan kebajikan anak-anak miskin yang masih bersekolah.
       Pada sebelah petang beliau suka berkebun. Pelbagai tanaman ditanam seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan. Hasil tanaman itu bukan sahaja untuk dimakan malahan dijual dan disedekahkan kepada jiran tetangga.
       Pada hujung minggu, beliau mengadakan kelas Bahasa Inggeris di balai raya. Beliau sanggup mengajar secara percuma. Ramai anak orang kampung yang tidak berkemampuan belajar dengannya. Murid-murid yang tidak mampu mengikuti kelas tuisyen berbayar dapat belajar Bahasa Inggeris dengan Cikgu Kariman. Prestasi murid-murid semakin meningkat. Bagi diri Cikgu Kariman, inilah bakti mulia selagi hayat dikandung badan.

LATIHAN 7
Cikgu Yahya   : Rasyid, mengapakah kamu tidak hadir semalam?
Rasyid             : Maafkan saya, cikgu. Saya ke klinik kerana mengalami keracunan makanan.
Cikgu Yahya   : Keadaan kamu sekarang bagaimana? Adakah kamu sudah sembuh?
Rasyid : Ya, cikgu. Setelah mengambil ubat, saya semakin pulih. Oleh
sebab saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, saya hadir  
juga ke sekolah. Semuanya berpunca daripada makanan yang
saya beli di sebuah gerai. Saya mendapati gerai tersebut tidak bersih.
Cikgu Yahya   : Bersyukurlah kerana kamu telah pulih. Pada masa akan datang,
  cikgu berharap agar kamu lebih berhati-hati. Pilihlah makanan
  yang bersih dan tidak tercemar.
Rasyid :           Terima kasih atas nasihat cikgu. Akan saya jadikan peristiwa ini sebagai
pengajaran. Saya pasti akan belajar daripada kesilapan yang saya lakukan. 



LATIHAN 8       
            Mak Cik Saleha merupakan seorang ibu tunggal. Pak Hamid, suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu. Mak Cik Saleha menjaga enam orang anaknya yang masih bersekolah. Mak Cik Saleha menjual kuih-muih dan nasi lemak bagi menyara keluarganya. Anak-anak Mak Cik Saleha amat memahami akan kesusahan ibu mereka.
          Mujurlah  anak-anak Mak Cik Saleha pandai menguruskan diri masing-masing. Mereka tidak mahu menyusahkan ibu mereka. Mereka berenam hanya berjalan kaki dan membawa bekalan makanan yang dimasak di rumah ke sekolah bagi mengurangkan perbelanjaan ibu mereka. Mak Cik Saleha selalu menasihati anak-anaknya supaya tekun belajar dan memberi tumpuan dalam pelajaran. Jika mereka berilmu dan berjaya nasib keluarga dapat diubah. Mak Cik Saleha bersyukur dan sangat bertuah kerana mempunyai anak-anak yang selalu mendengar dan menurut kata-katanya.

LATIHAN 9
     Rosnah tiba di rumahnya. Dia memberikan salam kepada ibunya. Selepas itu, dia menyimpan kasut dan stokingnya di dalam rak kasut. Rosnah menukar pakaian dan membersihkan dirinya. Rosnah menyimpan duit syiling ke dalam tabung yang dihadiahkan oleh ayahnya. Kemudian dia ke dapur untuk makan tengah hari. Dia memanggil adik-adiknya untuk makan tengah hari bersama-sama. Ibunya memasak asam pedas kegemarannya.
     Selepas makan, Rosnah membasuh pinggan mangkuk dan membersihkan meja. Rosnah ke ruang tamu lalu membaca surat khabar. Setengah jam kemudian, dia mengulang kaji pelajaran. Dia turut membantu adik-adiknya belajar. Dia mahu berjaya dalam pelajaran. Ibu bapanya pasti akan berasa bangga dengan pencapaiannya.

LATIHAN 10
JOHOR BAHRU, Jumaat – Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Merbau telah mendermakan wang sebanyak RM4000.00 untuk Tabung Mangsa Banjir. Derma tersebut disampaikan oleh pengerusinya, Encik Yusri kepada Guru Besar.    
“Kami berasa sedih mengetahui beberapa orang murid dan guru di sekolah ini terlibat dengan kejadian banjir itu. Diharapkan sumbangan ini akan dapat membantu meringankan beban mereka,” kata Encik Yusri.    
Guru Besar sekolah itu, Encik Hamdan Hamid berkata bahawa beliau bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan. Sumbangan ini akan membantu murid meneruskan pelajaran. Beliau berharap agar mangsa banjir banyak bersabar dan berdoa agar bencana ini akan berakhir. Beliau juga berharap ramai sukarelawan datang untuk bergotong-royong membersihkan sampah sarap dan Lumpur di kawasan kampung yang teruk dilanda banjir.    

LATIHAN 11
            Solihin sudah ketiadaan ayah dan ibu. Ibu bapanya meninggal dunia semasa dia berusia sepuluh tahun. Dia tinggal dengan bapa saudaranya iaitu Encik Kamarul. Solihin dipelihara bapa saudaranya seperti anaknya sendiri. Namun demikian, dia tetap bersedih kerana memerlukan kasih sayang yang sebenarnya daripada ibu bapanya.
                Solihin sedang belajar dalam tahun enam di Sekolah Kebangsaan Nitar 2.. Solihin menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dengan yakin sekali. Dia rajin mengulang kaji pelajaran sama  ada siang atau malam. Di samping itu, dia juga selalu menolong bapa saudaranya di gerai yang terletak di tepi jalan. Solihin menolong bapa menjual pisang goreng. Dia mendapat upah sebanyak dua ringgit sehari. Dia menyimpan wang itu di dalam tabung.
               Keputusan peperiksaan telah diumumkan. Solihin bergegas ke sekolah bersama-sama dengan bapa saudaranya. Dia begitu bangga kerana usahanya selama ini tidak sia-sia. Solihin memperoleh keputusan 5A. Solihin mendapat durian runtuh kerana bapa saudaranya memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM300 sebagai menghargai kejayaan itu. Solihin melompat keriangan selepas menerima keputusan itu.

LATIHAN 12
Memerah santan pagi hari,
Untuk memasak seperiuk kari;
Segala rintangan mereka tempuhi,
Agar terbela anak dan isteri.

Pergi belayar ke Inderagiri,
Hajat meminang puteri rupawan;
Jasa ibu bapa tidak terperi,
Tetap dikenang sepanjang zaman.

Terbang tinggi burung merpati,
Hinggap sementara di pohon jati;
Belailah mereka dengan rela hati,
Agar hidupmu sentiasa diberkati.

Singgah sebentar di tengah kota,
Mencari bekalan keperluan diri;
Jagalah sikap dan tutur kata,
Sekiranya tergores merana diri.

Sungguh cantik bunga melati,
Hidup mekar di tepi perigi;
Pesanan mereka dijunjung tinggi,
Pasti hidupmu sejahtera abadi.

LATIHAN 13
            Baizura seorang pengawas di sekolahnya. Pada suatu hari, dia ternampak seorang murid lelaki mencuri alat tulis seorang murid lain ketika waktu rehat. Baizura terus mendekati murid itu dan meminta dia memulangkan alat tulis itu semula. Walaupun budak itu digeruni kerana kenakalannya, namun Baizura tidak gentar.
            Budak itu tidak mengaku bahawa dia yang mengambil alat tulis itu. Baizura terus mendesak budak itu, tetapi dia tetap berdegil. Baizura tidak berputus asa lalu melaporkan kejadian itu kepada guru disiplin. Guru disiplin tidak mahu menghukum budak itu tanpa usul periksa. Beliau menyiasat perkara itu dengan teliti. Akhirnya, budak itu didapati bersalah kerana kesalahan mencuri.
            Budak itu meminta maaf atas kesalahannya. Dia berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi. Dia turut memohon maaf daripada Baizura. Baizura dan guru disiplin memaafkan kesalahannya itu.
Apabila balik dari sekolah, Suraya mengeluarkan buku-buku teks barunya dari beg. Kakaknya berkata,  “Biar kakak tolong kamu balut buku-buku itu,” Suraya menjawab,  “Terima kasih, kak. Biar saya yang membalut buku-buku ini.”

LATIHAN 14
            Suraya merupakan anak yang suka menolong ibu bapa dan ahli keluarganya. Suraya selalu menolong ibunya mencuci pinggan mangkuk, melipat kain dan mengemas rumah. Suraya juga membantu ayahnya mencuci kereta.
            Setiap pagi sebelum mandi, dia akan mengemas bilik tidurnya supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri. Rambutnya diikat kemas,kukunya dipotong dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaian.
            Pada hari minggu, Suraya dan keluarga selalu bersama-sama membersihkan rumah dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.

2 comments:

  1. Syabas, cikgu telah berjaya membina blog yang cantik. Saya tertarik dengan latihan yang cukup banyak dipaparkan. Saya mohon latihan cikgu untuk digunakan dalam p&p saya. Gembira dapat kongsi bersama maklumat yang pelbagai.

    ReplyDelete
  2. tahniah,anda telah berjaya membina blog yang menarik.Blog yang penuh maklumat dan pasti dapat membantu pelajar semua.

    ReplyDelete